Penggunaan bot pukat tunda di Zon B seluruh negara ditamatkan menjelang 2030
Jumlah bot pukat tunda di Zon B seluruh negara akan dikurangkan kepada 1,950 unit menjelang 2025 sebelum penggunaannya di zon itu ditamatkan sepenuhnya pada 2030 melalui Dasar Penstrukturan Pukat Tunda.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia Mohd Sufian Sulaiman berkata, setakat ini, ada 4,800 bot pukat tunda berlesen di kawasan Zon B.
Menurutnya, dasar penstrukturan itu dilakukan bagi melindungi sumber perikanan di kawasan berkenaan dan hanya membabitkan Zon B saja iaitu kawasan penangkapan lapan batu nautika hingga 12 batu nautika daripada pantai.
“Penstrukturan semula pukat tunda ini khas untuk kawasan Zon B. Ia dilakukan secara berperingkat untuk memastikan prosesnya di seluruh negara dapat dibuat dengan lebih baik.
“Ia juga berdasarkan sumber (perikanan), berapa bilangan (bot) sepatutnya ada. Contoh, di Perak, jika berdasarkan sumber, kita perlu 50 bot pukat tunda saja untuk dilesenkan.
“Jadi kita strukturkan semula sama ada mereka akan mengikuti program lain atau keluar ke kawasan lebih jauh (menangkap ikan di Zon C dan C2) supaya tidak mengganggu sumber di perairan pantai, terutamanya di kawasan kurang 12 batu nautika,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh di sini, hari ini selepas menyaksikan pelupusan bot rampasan.
Mohd Sufian berkata, Kerajaan Persekutuan mengumumkan Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi di bawah Dana Jaminan Makanan berjumlah RM150 juta dengan menggalakkan penggunaan peralatan mesra sumber serta meningkatkan mekanisasi dan automasi perikanan.
“Kita juga menggalakkan pengusaha, khususnya di Zon B menukar bot mereka kepada peralatan atau bot lebih moden yang boleh ke kawasan lebih jauh.
“Kita sudah melakukan sesi perjumpaan dengan pengusaha bot di seluruh negara untuk pelaksanaan penstrukturan ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah melupuskan 17 bot pukat tunda dan peralatannya sejak 2018 hingga kini bernilai kira-kira RM1 juta.
“Sehingga Ogos lalu, 217 kes tangkapan direkodkan CPS Pejabat Perikanan Negeri Perak dengan nilai sitaan RM445,400.
“Hari ini, kita melupuskan bot yang ditahan di perairan Sungai Tiang Bagan Datuk pada 16 dan 22 Jun lalu kerana melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
“Bot ini tidak dijadikan tukun kerana ia dibina daripada kayu yang mana hasil kajian mendapati ia tidak tahan lama dan akan reput,” katanya.
Keterangan gambar:
Pix: SITIAWAN 25 SEPTEMBER 2021. Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia Mohd Sufian Sulaiman menyembur cat merah sebagai gimik pelupusan bot yang melanggar syarat lesen. STR/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Sumber: Harian Metro