Enam pengasas terkenal ini pernah ‘dihalau’ dari syarikat sendiri

Enam pengasas terkenal ini pernah ‘dihalau’ dari syarikat sendiri

 

Enam pengasas terkenal ini pernah ‘dihalau’ dari syarikat sendiri

Dalam dunia perniagaan, terdapat beberapa pengasas syarikat terkemuka yang pernah mengalami situasi di mana mereka terpaksa meninggalkan syarikat yang mereka asaskan sendiri.

Berikut adalah enam pengasas terkenal yang menghadapi situasi sedemikian.

1. Steve Jobs, Apple

Steve Jobs, nama yang tidak asing dalam dunia teknologi, pernah melalui saat paling sukar dalam hidupnya apabila dipecat daripada syarikat yang beliau sendiri tubuhkan, Apple.

Pada tahun 1985, selepas membawa Apple ke puncak kejayaan bersama Steve Wozniak, Jobs berdepan konflik dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mereka lantik, John Sculley.

Ketidaksefahaman mengenai hala tuju syarikat menyebabkan lembaga pengarah lebih memihak kepada Sculley, dan akhirnya, Jobs terpaksa meninggalkan Apple pada usia 30 tahun.

Pemecatan ini merupakan tamparan hebat buat Jobs, yang ketika itu merasakan seluruh kehidupannya runtuh.

Beliau menggambarkan dirinya sebagai kegagalan besar dan hampir berputus asa.

Namun, selepas beberapa bulan, Jobs menubuhkan NeXT dan membeli Pixar, yang akhirnya merevolusikan dunia animasi dengan filem seperti Toy Story.

Takdir akhirnya menemukan Jobs semula dengan Apple apabila syarikat itu membeli NeXT pada 1997.

Kepulangannya ke Apple membawa revolusi besar, termasuk pelancaran produk ikonik seperti iMac, iPod, iPhone dan iPad.

Dalam satu ucapan di Universiti Stanford pada 2005, Jobs mengakui bahawa pemecatan itu adalah perkara terbaik yang pernah berlaku kepadanya.

2. Jack Dorsey, Twitter

Jack Dorsey, pengasas bersama Twitter, pernah mengalami detik pahit apabila dipecat daripada jawatan CEO syarikatnya sendiri pada Oktober 2008.

Pemecatan itu dilakukan oleh rakan pengasasnya, Ev Williams.

Difahamkan, ia berlaku hanya dua setengah tahun selepas Dorsey menghantar tweet pertama pada 21 Mac 2006 dan setahun setengah selepas Twitter secara rasmi diperbadankan pada 19 April 2007.

Twitter berkembang lebih pantas daripada jangkaan, menyebabkan pelayannya sering mengalami gangguan.

Dalam wawancara bersama Vanity Fair pada 2011, Williams menjelaskan bahawa keadaan ini memerlukan perubahan kepimpinan.

Dorsey sendiri mengakui bahawa dia berada dalam kedudukan yang sukar kerana merasakan Twitter lebih kepada syarikat Williams, yang membiayai projek itu dan menjadi pengerusi.

Pemecatan itu memberi tamparan hebat kepada Dorsey. Namun, dia tidak membiarkan perkara itu melemahkannya.

Pada 2009, dia menubuhkan Square, sebuah platform pembayaran mudah alih yang berkembang pesat dan memproses transaksi bernilai berbilion dolar.

Pada 2015, dia kembali sebagai CEO Twitter bagi menggantikan Dick Costolo, ketika syarikat itu menghadapi cabaran dalam menarik pengguna baharu dan sahamnya merosot.

Dorsey kemudian mengemudi kedua-dua Twitter dan Square secara serentak ketika itu.

3. Jerry Yang, Yahoo

Jerry Yang dan David Filo memulakan perjalanan mereka dalam dunia internet dengan melancarkan direktori laman web yang dikenali sebagai “Jerry and David’s Guide to the World Wide Web” pada 1994.

Setahun kemudian, ia dijenamakan semula sebagai “Yahoo!”, sebuah enjin carian yang berkembang pesat ketika gelembung dot-com, tetapi merosot teruk selepas kejatuhannya.

Yahoo! gagal menyaingi Google dalam teknologi carian, menyebabkan syarikat itu bergelut dengan masalah kewangan serta pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Pada tahun 2008, Yang yang ketika itu merupakan CEO, menolak tawaran pembelian Microsoft bernilai $45 bilion kerana percaya ia terlalu rendah.

Keputusan ini dikritik hebat oleh pemegang saham, menyebabkan tekanan terhadap kepimpinannya.

Akhirnya, Yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai CEO dan mengambil peranan sebagai penasihat.

Pada tahun 2012, beliau meninggalkan Yahoo! sepenuhnya.

Namun, Yang terus maju dalam dunia perniagaan. Beliau menjadi ahli lembaga Alibaba, yang mencatat sejarah sebagai IPO terbesar di Amerika Syarikat (AS) pada 2014 dengan nilai $25 bilion.

Selain itu, beliau menubuhkan firma modal teroka sendiri, AME Cloud Ventures.

4. Travis Kalanick, Uber

Travis Kalanick dan rakannya, Garrett Camp, pertama kali mendapat idea untuk membangunkan Uber pada lewat tahun 2008.

Mereka mula mengusahakan prototaip pada Mac 2009, dan Kalanick kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut.

Syarikat itu kemudiannya berkembang menjadi salah satu kisah kejayaan paling terkenal dalam dunia pemula niaga (start-up) di Silicon Valley.

Uber berjaya mengumpul hampir $9 bilion daripada para pelabur, dengan nilai syarikat mencecah hampir $70 bilion pada kemuncaknya.

Syarikat teknologi pengangkutan ini kini beroperasi di lebih 600 bandar di seluruh dunia.

Namun, Kalanick dilaporkan terpaksa ‘angkat kaki’ selepas menghadapi tuduhan.

Tidak hanya itu, syarikat tersebut juga sering dikaitkan dengan budaya kerja yang ‘toksik’ dan penuh kontroversi.

5. Elon Musk, Paypal

Elon Musk, seorang usahawan terkenal, merupakan salah seorang pengasas X.com pada tahun 1999, yang kemudiannya bergabung dengan Confinity untuk membentuk PayPal.

Pada tahun 2000, Musk digantikan sebagai CEO PayPal disebabkan perbezaan pandangan mengenai arah tuju teknologi syarikat.

Walaupun begitu, selepas eBay membeli PayPal pada tahun 2002, Musk menerima pampasan yang signifikan, yang kemudiannya digunakan untuk membiayai usaha-usaha lain seperti SpaceX dan Tesla.

6. Jack Ma, Ant Group

Jack Ma, pengasas Alibaba Group, juga mengasaskan Ant Group, sebuah syarikat teknologi kewangan yang mengendalikan Alipay, platform pembayaran dalam talian terbesar di China.

Pada tahun 2020, selepas memberikan kritikan terbuka terhadap sistem kewangan China, pihak berkuasa China menangguhkan IPO Ant Group yang dijangka menjadi yang terbesar di dunia.

Selepas itu, Jack Ma mengundurkan diri dari peranan aktif dalam syarikat tersebut, dan Ant Group menjalani penyusunan semula di bawah pengawasan ketat kerajaan China.