Pengasas tahfiz tiba-tiba ada banglo & Mercedes, wanita dedah realiti ‘industri minta sedekah’

Pengasas tahfiz tiba-tiba ada banglo & Mercedes, wanita dedah realiti ‘industri minta sedekah’

 

Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap pemurah dan gemar membantu orang lain dengan menghulurkan sumbangan wang mahupun barangan kepada mereka yang memerlukan.

Menerusi beberapa laporan portal berita tempatan, ada pihak yang sanggup menderma sehingga ribuan ringgit, selain ‘menghadiahkan’ sebuah kereta kepada individu yang kurang berkemampuan demi meringankan beban yang dialami.

Maka tidak hairanlah apabila wujud pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mengambil kesempatan atas kebaikan masyarakat.

Terbaharu menurut mStar, seorang wanita berkongsikan realiti yang didakwa berlaku di Malaysia pada masa ini melibatkan aktiviti derma termasuk pembukaan sekolah atau pusat tahfiz.

Dakwanya, kebanyakan individu yang membuka pusat tahfiz tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh sehingga akhirnya terpaksa mengutip derma menerusi iklan di Facebook Page.

“Kalau tak ada duit, jangan buka pusat tahfiz!

“Dengan buka Facebook Page, run iklan setiap Jumaat kutip derma, pengasas tiba-tiba kaya ada banglo, Mercedes. Sick community,” ujarnya dalam nada kesal.

Malah di ruangan komen, wanita ini turut menyertakan tangkap layar komen seorang individu yang mendedahkan senario semasa di Malaysia, membabitkan golongan peminta sedekah.

Menurut pemilik akaun Md Sees Md Ali, peminta sedekah pada masa ini telah dijadikan satu perniagaan yang menguntungkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga digelar ‘industri peminta sedekah’.

“Sekarang kita dah mula faham yang minta sedekah jadi satu perniagaan menguntungkan. Review peminta sedekah juga satu pendapatan.

“Ini fakta, apabila dilakukan secara berkumpulan ia macam kartel.

“Organisasi dia lengkap ada tukang review, tukang promote, ada platform tukang kutip dan payment gateway tukang terima duit masuk… ini dipanggil industri peminta sedekah,” jelasnya.

Warga maya turut memberikan pandangan masing-masing.

Hantaran yang dibuatnya mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya selain turut dikongsikan lebih 1,000 pelayar Facebook.

Ramai yang mula meyedari perkara tersebut dan meluahkan kebimbangan selain berharap terdapat akta atau undang-undang yang dapat membanterasnya daripada terus berleluasa.

“Facebook Ads berleluasa lalu lalang kutip derma untuk anak yatim, wakaf perigi dan sebagainya. Jangan percaya semua tu kebanyakan scammer, ramai orang gunakan agama untuk cari duit.

“Pengasas pusat tahfiz berkereta Velfire, Mercedes… pelajar-pelajar disuruh berdiri kutip derma depan bank, kalau kutipan tak capai target, balik asrama kena denda lagi. Kejadian benar, berlaku terhadap anak saudara di Johor.

“Dah lama nak cakap perkara ni, tapi nanti apabila kita cakap… ramai kecam. Realiti yang orang ramai tak nampak,” ujar beberapa warga maya.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir netizen yang beranggapan, sedekah adalah amalan mulia dan terpulang kepada penerima sama ada menggunakannya di jalan benar atau sebaliknya.