Pengasas KK Mart mohon ampun kepada Agong, umat Islam isu stoking kalimah Allah

Pengasas KK Mart mohon ampun kepada Agong, umat Islam isu stoking kalimah Allah

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai mohon ampun dan maaf kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung isu penjualan stoking kalimah Allah.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Seri Paduka Baginda yang telah berkenan menerima mengadap Dr Chai yang telah berlangsung selama 15 minit di Istana Negara, hari ini.

Sepanjang sesi mengadap itu, Dr Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berkaitan penjualan stoking kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka tersebut.

Susulan itu, Seri Paduka Baginda berharap kejadian tersebut tidak akan berulang kembali dan menekankan agar semua pihak termasuk KK Mart lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila kedai serbaneka KK Mart menjual stoking yang tertera kalimah Allah sehingga mengundang kemarahan ramai terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Sebelum ini juga, terdapat tiga cawangan KK Mart iaitu di negeri Perak, Pahang dan Sarawak telah dibaling dengan bom petrol oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.