Penganggur tergamak bawa anak isteri mengemis untuk beli dadah

Penganggur tergamak bawa anak isteri mengemis untuk beli dadah

 

Seorang penganggur tergamak meraih simpati orang ramai dengan membawa isteri serta dua anaknya untuk meminta sedekah di sekitar kawasan bank dan kedai makan di daerah ini untuk membeli dadah.

Lelaki berusia 24 tahun merayu simpati orang ramai dengan mendakwa anak-anaknya mengidap pelbagai penyakit dan memohon bantuan untuk rawatan.

Ketua Operasi Bantuan Murtadha Dakwah Centre (Madadcare), Muhammad Ridzuan Osman, berkata lelaki itu mendapat bantuan bulanan bakul makanan daripada pihaknya sejak tahun lalu.

Katanya, semalam pihaknya membantu keluarga berkenaan menyewa sebuah rumah untuk mereka tinggal sementara.

“Pasangan ini ada dua anak berusia setahun lapan bulan dan sembilan bulan. Baru semalam kami bantu keluarga itu dapatkan rumah bagi tempat tinggal sementara, tapi rumah itu sudah pun jadi ‘port’ hisap dadah.

“Kami terkejut selepas tuan rumah memaklumkan perkara itu selepas dia ke rumah tersebut untuk melihat keadaan anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Muhammad Ridzuan, berkata satu laporan polis telah dibuat sebelum lelaki berkenaan ditahan polis di tepi Jalan Kampung Binjul Dalam Tawar, Baling petang semalam.

Dua anak pasangan berkenaan juga telah diserahkan kepada keluarga isteri lelaki berkenaan di Kuala Ketil, Baling.

“Lelaki itu mengaku hasil minta sedekah setiap hari digunakan untuk membeli dadah,” katanya.

Terdahulu, Madadcare tampil membantu keluarga berkenaan selepas mereka dikatakan tidur di dalam kereta hadapan sebuah bank di Sungai Petani selama seminggu kerana tiada tempat tinggal selepas didakwa diusir bapa saudara.

Bagaimanapun, menerusi hantaran di Facebook Penduduk Sungai Petani, terdapat perkongsian pemilik rumah sewa itu yang mendakwa pasangan itu tidak pernah diusir dari rumah itu walaupun tidak membayar sewa.

“Ini yang ditinggalkan.. saya tak pernah halau dia ya walaupun dia tak bayar sewa…,” katanya.

Turut dikongsi beberapa gambar keadaan rumah yang tidak terurus selain terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk mengambil dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat mengesahkan penahanan suspek namun isterinya hanya diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat 7.31 gram yang dipegang di tangan kiri suspek.

“Hasil soal siasat suspek mengaku barang kes yang dirampas adalah miliknya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.