Penganggur edar dadah tepi jalan ladang kelapa sawit ditahan

Penganggur edar dadah tepi jalan ladang kelapa sawit ditahan

 

Polis menahan seorang penganggur dipercayai mengedar dadah jenis heroin di tepi jalan kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Teluk Intan – Bidor, Teluk Intan di sini pada Rabu.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil pemeriksaan menemui 10 bungkus plastik mengandungi heroin anggaran seberat 4.5 kilogram bernilai RM158,203.15.

Menurutnya, suspek disyaki aktif mengedar dadah di sekitar daerah Hilir Perak sejak tiga bulan lalu.

“Dadah berkenaan dijumpai dalam sebuah beg yang dibawanya. Jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada lebih 10,000 orang penagih.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini pada Jumaat.

Mior Faridalathrash berkata, suspek direman selama enam hari bermula Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tindakan juga diambil di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah motosikal jenis Demak DV110 bernilai RM2,000.

“Kegiatan ini dikaitkan dengan sindiket, jadi kita akan terus jalankan siasatan bagi mengesan ahli lain yang terlibat,” katanya.