Penganggur berang ditegur tidak pakai pelitup muka

Penganggur berang ditegur tidak pakai pelitup muka

Polis menahan seorang penganggur yang berkasar dengan pekerja medan selera di Kampung Koh di sini, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu direman dua hari berakhir esok untuk siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menahan suspek pada 11.30 malam susulan laporan dibuat mangsa yang berusia 16 dan 17 tahun.

Katanya, sebelum itu dalam kejadian 2.44 petang, suspek dikatakan membaling puntung rokok dan menentang kerusi diduduki mangsa yang menjaga pintu masuk selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka.

“Dia juga mengasari pekerja lain yang cuba menenangkannya. Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sitiawan. – HM