Pengalaman unik harungi laut jalan kaki ke pulau

Pengalaman unik harungi laut jalan kaki ke pulau

 

“Pengalaman ini unik dan mengujakan kerana saya dapat menyeberang ke pulau dengan berjalan kaki,” kata pelancong dari Pulau Pinang, Ahmad Hafizuddin Abdullah yang tidak melepaskan peluang menyeberang ke pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah, di sini.

Fenomena air surut itu boleh digambarkan seperti laut terbelah hingga menampakkan beting pasir dan ia hanya berlaku pada Februari dan musim perayaan Tahun Baharu Cina, sekali gus menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar pulau itu.

Ahmad Hafizuddin, 25, berkata, dia bersama lima rakan bercuti ke Pulau Pangkor untuk merasai sendiri pengalaman menyeberangi laut selepas ia tular di media sosial.

“Kami mula berjalan kaki pada jam 10.30 pagi dan mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk sampai ke pulau berkenaan dan dalam perjalanan dapat melihat banyak gamat dengan lebih dekat.

“Saya teruja berpeluang merasai pengalaman seperti ini dan sentiasa berhati-hati cuma agak terleka sedikit apabila bergambar di pulau tak sangka air sudah mula pasang ketika mahu balik,” katanya ketika ditemui ketika fenomena air surut di pantai berkenaan, semalam.

Hampir 500 pengunjung dan penduduk setempat mengambil peluang menyeberang ke Pulau Giam dan bersantai di tepi pantai melihat fenomena air surut bermula jam 9.30 pagi hingga 11.15 pagi itu sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Ahamd Hafizuddin berkata, mereka bernasib baik apabila ada bot membawanya bersama rakan ke darat kerana ketika mahu pulang air sudah mulai pasang.

“Ini menjadi pengajaran kepada kami dan orang ramai dinasihatkan supaya beringat (dan peka dengan waktu pulang mengikut jadual surut air).

“Saya berasa lebih selamat apabila aktiviti ini sentiasa dipantau beberapa agensi penyelamat dan usaha seperti ini bagus,” katanya.

Rakannya, Nadia Asi, 24, berkata, ini kali pertama dia bercuti ke Pulau Pangkor dan ia memberikan pengalaman menyeronokkan kepadanya.

Bagaimanapun, katanya ia juga mengajarnya supaya sentiasa mendapatkan maklumat lebih sahih berkaitan aktiviti itu berbanding hanya mendengar dari mulut orang lain semata-mata.

“Pada mulanya kami mahu berjalan pulang saja kerana semua pandai berenang tetapi selepas mendapat nasihat bomba kami pulang dengan bot kerana ia berisiko.

“Pengalaman ini memang mengujakan dan saya tak sangka boleh berjalan kaki saja dari laut untuk ke pulau. Jadi kita memang perlu mendapat maklumat tepat mengenai air surut supaya dapat merancang aktiviti dengan baik,” katanya.

Penduduk, Dani Hamdan, 13, berkata, aktiviti itu memang ditunggunya saban tahun namun kali ini dia tidak menyeberang hingga ke Pulau Giam.

Dani yang tinggal di Teluk Kechil turut mengakui, walaupun sudah tiga kali melakukan aktiviti itu dia tetap teruja.

“Ketika saya berjalan paras air hanya di buku lali kaki saja tetapi kali ini saya tak berjalan hingga ke pulau hanya ke tengah saja sebelum berpatah balik. Kita tak boleh leka dan perlu mendengar nasihat pasukan penyelamat,” katanya.