Penduduk merungut, kediaman kerap di landa banjir kilat

Penduduk merungut, kediaman kerap di landa banjir kilat

 

Hujan lebat sejak petang tadi hingga lewat petang menyebabkan kira-kira 10 rumah dilanda banjir kilat di Taman Bernam Perdana, dekat sini.

Banjir kilat dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan bukit menyebabkan longkang di kawasan perumahan tidak dapat menampung isi padu air lalu melimpah masuk ke dalam rumah penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Bernam Perdana Mohd Izwan Shahril, 39, berkata, sejak 2020 sudah tujuh kali kawasan perumahan ini dilanda banjir kilat.

Menurutnya, penduduk sebelum ini sudah memaklumkan kepada pemaju mengenai masalah yang dihadapi penduduk namun tindakan yang diambil oleh pihak pemaju terbabit masih tidak dapat menyelesaikan kejadian banjir kilat.

“Longkang mesti diperbesarkan kerana longkang sedia ada memang tidak dapat menampung air yang mengalir dari kawasan bukit bersebelahan perumahan ini.

“Setiap kali banjir kilat, penduduk terpaksa menanggung kerugian disebabkan kerosakan harta benda di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Mohd Izwan berkata, penduduk bimbang setiap kali hujan di kawasan ini menyebabkan urusan harian mereka juga terjejas.

“Setiap kali berlaku banjir kilat, kami bergotong royong membantu membersihkan rumah penduduk terbabit bagi mengurangkan beban penduduk.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) turut campur tangan dalam menangani masalah banjir kilat di kawasan perumahan ini,” katanya.