Penduduk Manjoi rayu atasi segera banjir
“Saya tidak kuat tetapi terpaksa kuatkan diri menyelamatkan barangan dalam rumah ini, dan melakukan kerja pembersihan setiap kali banjir,” luah warga emas, Siti Aishah Ahmad, 80, yang tinggal di Kampung Sungai Kati, Manjoi di sini, hari ini.
Dia yang bertubuh kecil dan tinggal bersama seorang cucu di sebuah rumah kampung yang terletak di tepi Sungai Kati memberitahu, hujan berterusan semalam menyebabkan banjir lumpur paling teruk pernah melanda rumahnya sejak lebih 50 tahun mendiami kediaman itu.
Menurut ibu kepada empat anak itu, rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira satu meter petang semalam, menyebabkannya terpaksa mengerah tenaga mengalihkan perabot dan barangan elektrik seperti televisyen ke tempat selamat.
“Walaupun sudah biasa dengan masalah ini, namun banjir pada kali ini merupakan paling teruk kerana paras air yang naik adalah dua kali ganda daripada biasa.
“Saya harap pihak kerajaan dapat memberi bantuan dengan membina benteng yang tinggi di tepi sungai ini, supaya tidak memasuki rumah penduduk dan menyelesaikan masalah banjir di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Katanya, air mulai surut awal pagi tadi, namun dia juga terpaksa membersihkan sampah sarap yang mengalir dari kawasan sungai tersebut setiap kali banjir dan berharap pihak berwajib mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah pencemaran sungai itu.
Sementara itu, seorang lagi penduduk berhampiran, Abdul Rahim Asri, 42, turut merayu tindakan segera kerana rumahnya dilanda banjir teruk daripada kebiasaannya sebanyak tiga kali pada bulan ini, akibat limpahan air Sungai Pari dan Sungai Kati.
“Puas saya mengemas dan membersihkan kawasan rumah termasuk sampah yang mengalir, kemudian berlaku semula banjir hingga menyebabkan ketiga-tiga kereta di rumah ini rosak selepas ditenggelami air.
“Saya juga tidak dapat menternak ayam lagi kerana kira-kira 20 ekor ayam ternakan mati akibat banjir sebelum ini,” katanya.
Pemandu lori itu yang tinggal bersama isteri di kediaman berkenaan berkata, dia kini hanya membela ternakan itik dan angsa kerana ia mampu berenang dan terapung sekiranya berlaku musibah banjir.
Semalam, tular di media sosial menunjukkan gambar paras air Sungai Pari yang tinggi luar biasa susulan hujan berterusan, mencetuskan kebimbangan penduduk malah lebih memburukkan pemandangan dengan longgokan sampah di kawasan sungai itu.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin ketika dihubungi memberitahu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengarahkan kontraktor selenggaraan tahunan bagi membantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan sampah berkenaan.
“Sampah berkenaan hanyut akibat hujan lebat dan aliran deras sungai berkenaan,” katanya.
Katanya, tindakan kompaun maksimum RM250 boleh diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelupusan Sampah, sekiranya didapati ada pihak yang membuang sampah merata-merata termasuk ke dalam sungai.