Pendaki hilang di Puncak Jelapang ditemui, tidak sedarkan diri

Pendaki hilang di Puncak Jelapang ditemui, tidak sedarkan diri

 

Pendaki warga emas yang dilaporkan hilang di Puncak Jelapang dekat sini sejak Jumaat lalu ditemui dua malim gunung dalam keadaan tidak sedarkan diri hari ini.

Lau Sam, 84, dijumpai di dalam sungai pada ketinggian 550 meter dari aras laut pada pukul 2.14 petang.

Komander Operasi, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan itu oleh malim gunung pada pukul 2.30 petang.

Katanya, sembilan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya digerakkan ke lokasi untuk membawa turun mangsa.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sungai. Operasi digerakkan segera bagi membawa mangsa turun.

“Usaha membawa turun mangsa mungkin mengambil masa hingga tujuh jam ekoran faktor geografi hutan itu dengan laluan sempit, curam dan berbukit,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.