Pendaftaran MUDA: Hamzah akan bincang dengan Presiden Bersatu, PM

Pendaftaran MUDA: Hamzah akan bincang dengan Presiden Bersatu, PM

 

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mendakwa kegagalan parti MUDA mendapat kelulusan awal adalah disebabkan pemimpin parti itu melakukan kesalahan undang-undang.

Jelasnya, berikutan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) terpaksa menangguhkan pendaftaran MUDA.

“Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden MUDA) sudah jumpa saya, dia benar-benar minta luluskan dan saya dah nasihatkan dia.

“Masalah yang saya terpaksa tolak pendaftaran MUDA tempoh hari adalah kerana dalam Akta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), kita tak benarkan sesiapa ahli atau anggota jawatankuasa penaja, mana-mana orang nak tubuhkan parti baru langgar undang-undang dalam negara.

“Tapi masa kita nak luluskan tempoh hari, mereka telah banyak lakukan kesalahan seperti buat demonstrasi dan buat perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Armada dan Srikandi.

Awal tahun ini, JPPM menolak permohonan MUDA untuk didaftarkan sebagai parti politik tanpa memberikan sebarang alasan terhadap penolakan itu.

Pada 4 Februari, MUDA membuat rayuan kepada Hamzah susulan penolakan tersebut.

Terbaharu, Mahkamah Tinggi pada 14 Disember mengarahkan KDN mendaftarkan MUDA, dalam tempoh dua minggu.

Mahkamah juga turut memerintahkan KDN membayar kos RM10,000 kepada MUDA.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata pihaknya akan berbincang dengan pengerusi parti itu, Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung tindakan lanjut terhadap MUDA.

Katanya, hasil perbincangan itu akan diumumkan Isnin ini.

“Oleh kerana mahkamah dah putuskan untuk beri peluang dan dikatakan ia adalah hak mana-mana pihak untuk menubuhkan parti, maka saya dah pun bincangkan perkara ini dengan Presiden parti saya dan juga bincang dengan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), saya akan umumkan Isnin,” katanya, memetik FMT.