Pemuda PAS kata parti komponen PH tiada nilai, hanya bergantung harap pada DAP

Pemuda PAS kata parti komponen PH tiada nilai, hanya bergantung harap pada DAP

 

Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka jelas menunjukkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai nilai selain hanya bergantung harap pada DAP, kata Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau berkata, PRN Melaka juga menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat negeri itu kepada PH apabila ia tewas hampir semua kerusi yang pernah dimenangi kecuali di kawasan majoriti bukan Melayu yang ditandingi DAP dan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kempen DAP yang memburukkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan isu polisi judi dan arak di Kedah yang majoritinya orang Melayu digunakan untuk menakutkan pengundi bukan Melayu sehingga mereka berjaya memperoleh undi.

“Namun kesannya, PKR dan PAN (Amanah) ditolak majoriti masyarakat Melayu di kerusi ditandingi mereka. Sekiranya PH masih bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal dan parti lain akan terus tersungkur,” katanya dalam kenyataan, seperti dilaporkan FMT.

Fadhli berkata, PAS dan PN menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan sebagai gabungan yang dilihat “underdog”.

“Walaupun telahan awal menjangkakan PN akan ‘bungkus’ di semua kerusi, ternyata PN berjaya merampas dua kerusi DUN yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu.

“PAS juga mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan apabila hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti yang amat tipis (79 undi), serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan yang ditandingi kecuali di DUN Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi,” tambah beliau.

Katanya, ia merupakan petanda awal kemampuan PAS dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang remeh oleh semua parti.

Dalam PRN Melaka kelmarin, PAS tewas kepada semua calon BN di Kelebang, Merlimau, Serkam, Duyong, Bukit Katil, Durian Tunggal, Taboh Naning, dan Kuala Linggi.

COMMENTS