Pemuda 21 tahun menang RM1 juta
Seorang pemuda berusia 21 tahun dari Kelantan memenangi cabutan istimewa BSN SSP yang membawa pulang simpanan tunai bernilai RM1 juta.
BSN dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemuda berkenaan yang memenangi Cabutan Istimewa BSN SSP pertama bagi 2021 adalah pemenang termuda sejak ganjaran RM1 juta diperkenalkan pada 2014.
Buat kali pertama pada tahun ini, BSN turut mengumumkan seramai 13 orang pemenang bagi Cabutan Tempatan yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 Auto.
Cabutan itu diadakan pada bulan Februari, Mei, Ogos dan November 2021 serta terbuka kepada penyimpan yang mempunyai BSN SSP dengan simpanan minimum RM100.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata beliau berharap agar rakyat Malaysia terus menyimpan bersama BSN SSP yang juga adalah produk simpanan unik patuh Syariah.
“Ini kerana, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, anda juga dapat menikmati kadar keuntungan hingga 1.9 peratus setahun yang mana ia adalah sama dengan kadar tetap di bank lain,” katanya dalam kenyataan itu. – BH