Peminat terkejut Facebook Ella muat naik video aksi tidak senonoh

Peminat terkejut Facebook Ella muat naik video aksi tidak senonoh

 

RATU rock negara Ella memaklumkan laman sosial Facebook miliknya digodam pihak tidak bertanggungjawab pada petang Khamis.

Memaklumkan berita tersebut, Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, turut meluahkan rasa sedih atas perbuatan tersebut.

“Akaun Facebook Ella Aminuddin telah digodam. Sedih saya tau,” katanya.

Penyanyi ini menulis perkara tersebut di laman Instagram miliknya selepas menyedari perkara itu.

Susulan itu, Ella bersama pihak pengurusannya akan mengambil tindakan dengan membuat laporan polis berhubung isu itu.

Malah pihaknya akan menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Pihak pengurusan dalam usaha melaporkan perkara ini kepada Polis DiRaja Malaysia dan menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan di Instagram miliknya.

Sementara itu, menerusi tinjauan mStar, terdapat sebuah video paparan beberapa aksi kurang sopan artis antarabangsa dimuat naik di Facebook berkenaan.

Antaranya adalah aksi jelik penyanyi Robbie William mencium punggung seorang wanita dalam sebuah konsert.

Video berkenaan dimuat naik di Facebook yang mempunyai seramai 516,000 pengikut pada Khamis.

Sehingga kini, video tersebut sudah mendapat tontontan sebanyak 50,000 selain dikongsi semula oleh 63 pengguna.

Kali terakhir Ella mengemas kini Facebook miliknya itu adalah pada 6 Julai 2022.

Sementara itu, menerusi ruang komen video tersebut, rata-rata meluahkan rasa terkejut apabila Ella memuat naik video berbaur jelik.