Pemimpin AMANAH meninggal dunia ketika mahu bayar zakat

Pemimpin AMANAH meninggal dunia ketika mahu bayar zakat

 

Timbalan Pengerusi Tetap Amanah Adnan Saad meninggal dunia sebelum sempat menunaikan zakat fitrah di Masjid Zahir, Alor Setar, malam tadi.

Difahamkan Adnan, 54, yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Kedah tiba-tiba rebah ketika beratur menunggu giliran untuk membayar zakat setelah selesai solat Isyak di masjid negeri itu, menurut Setiausaha Amanah Kedah Asmirul Anuar Aris.

“Keluarga Allahyarham memaklumkan yang beliau sebelum ini menghidap (penyakit) darah tinggi dan jantung. Jadi pemergiannya itu mungkin ada kena-mengena dengan penyakit dihidapi.

“Beliau sentiasa disenangi semua pihak malah kalangan pemimpin besar dalam parti amat mengenali arwah sebagai sebagai seorang rakan. Pemergian arwah amat mengejutkan,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar menyifatkan pemergian Adnan sebagai kehilangan besar kepada parti sama ada di peringkat nasional mahupun Kedah.

“Beliau sentiasa ceria dan bersemangat nak laksanakan sebarang kerja diberikan kepadanya,” kata Mahfuz.

“Pada masa sama, beliau tidak menyimpan dendam atau mudah melenting termasuk ketika bergurau bersama rakan-rakan.”