Pemilik not RM50 bertulis ‘Duit last ayah bagi’ ditemui, tak sangka rupanya ada kisah disebaliknya
Beberapa hari lepas, tular di Facebook tentang sehelai wang kertas RM50 yang tertulis ‘Duit last ayah bagi, 11/5/20 Al-fatihah’. Wang tersebut telah diperoleh oleh seorang individu yang dikenali sebagai Tuah Lim di Facebook.
Difahamkan, wang kertas RM50 itu telah diperolehnya setelah dia mengeluarkan wang di mesin ATM di sebuah stesen minyak di Gambang pada Isnin lalu.
Dia kemudiannya memuat naik gambar wang tersebut di Facebook untuk menjejaki pemilik asal wang itu kerana yakin wang berkenaan mempunyai nilai sentimental kepada pemiliknya.
Pada Jumaat, pemilik asal wang tersebut akhirnya berjaya ditemui dan wang RM50 itu juga telah diserahkan kepada pemiliknya yang dikenali sebagai Nur Hidayah, 25 tahun.
Memetik laporan Sinar Harian, Nur Hidayah tidak menyangka dia akan memiliki semula wang kertas bernilai RM50 itu selepas empat tahun.
Difahamkan, pada ketika itu, Nur Hidayah terpaksa menggunakan wang itu beberapa bulan selepas pemergian ayahnya kerana pada ketika itu, hanya duit tersebut yang ada dalam beg duitnya, manakala nak ke mesin ATM pula jauh.
Pada ketika itu juga, dia mengakui terdetik dalam hatinya, Insya Allah wang tersebut akan kembali semula kepadanya nanti.
Menurut Nur Hidayah, bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2020 kerana penyakit buah pinggang.
Difahamkan juga, duit itu diserahkan semula kepada Nur Hidayah selepas bukti-bukti tentang tarikh kematian ayah Nur Hidayah telah diteliti di platform media sosialnya.