Pemilik Father’s Farm sedia bertanggungjawab, dakwa kawasan tanah runtuh adalah milik tanah kerajaan

Pemilik Father’s Farm sedia bertanggungjawab, dakwa kawasan tanah runtuh adalah milik tanah kerajaan

 

Frankie Tan, pengendali Father Organic Farm tampil menegaskan bahawa dia tidak akan lari daripada tanggungjawab walaupun kejadian tanah runtuh yang menggegarkan Batang Kali sebenarnya tidak berlaku di dalam kawasan ladang.

Dalam satu sidang media yang dibuat pertama kali sejak kejadian menyayat hati ini dan menurut laporan Weird Kaya, beliau meluahkan rasa sedih yang mendalam terhadap mangsa dan pihak keluarga, sambil menambah bahawa beliau bersedia untuk membantu mereka dengan apa jua cara.

Mengenai tragedi Batang Kali yang berlaku minggu lalu, beliau memberitahu pemberita bahawa beliau tidak akan lari, “Sebagai pengendali tapak perkhemahan, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak akan lari dari tanggungjawab,” katanya sebelum menyambung bahawa tanah runtuh itu tidak berlaku di tapak perkhemahan milik ladang terbabit, tetapi di tanah yang lain.

“Kawasan tanah runtuh itu adalah milik tanah kerajaan iaitu kira-kira 2 atau 3 kilometer dari tanah ladang yang kami pajak. Tambahan pula, tapak tanah runtuh adalah hutan besar yang tidak pernah dibangunkan,” katanya.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang.

Sejak daripada itu, Frankie akui bahawa dia telah menghadapi pelbagai tekanan dari pelbagai pihak, termasuk keluarga mangsa yang menyalahkan beliau diatas kejadian yang berlaku.

“Selepas kejadian itu, beberapa mangsa yang terselamat dan ahli keluarga telah mengutuk saya di tempat kejadian (tanah runtuh). Saya faham dan apa yang boleh saya lakukan ialah menundukkan kepala dan membiarkan mereka melepaskan diri,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada September lalu telah menyenaraikan kawasan tanah runtuh yang terjadi di Batang Kali sebagai lokasi kritik.

Bagaimanapun, Frankie berkata bahawa dia tidak pernah menerima apa-apa surat atau sebarang maklumat mengenai informasi terbabit.