Pemilik dusun disaran jual durian secara online, COD

Pemilik dusun disaran jual durian secara online, COD

Pekebun durian di Perak disaran supaya mencari jalan memasarkan sendiri buah durian bagi memastikan tidak berlaku lambakan dan penurunan harga mendadak komoditi tersebut.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek berkata, mereka tidak boleh terus mengharapkan jualan melalui peraih seperti sebelum ini.

Menurutnya, ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan banyak premis yang tidak boleh beroperasi, pekebun atau pengusaha durian perlu kreatif untuk memasarkan produk mereka.

“Pemilik dusun boleh memikirkan kaedah baharu pemasaran durian, mungkin boleh mempertimbangkan menjual durian dalam talian atau tunai bayar waktu terima (COD) untuk mengembangkan lagi pasaran durian mereka.

“Ketika pandemik, mereka juga perlu menyesuaikan cara menjual buah, yang boleh dijual secara pek pada harga berpatutan bagi mudahkan orang makan di rumah. Ini sekali gus dapat mengelak harga turun mendadak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di IGROW, di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, Nordin berpendapat sepanjang musim durian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pihak berkaitan perlu memastikan pengedaran dan jualan durian dibenarkan.

Katanya, perkara itu amat penting bagi memastikan tidak berlaku gangguan pada rantaian bekalan bagi memastikan permintaan dipenuhi dan tidak berlaku lambakan durian di dusun.

Pada masa sama, katanya kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan mempromosi kempen makan durian tempatan melalui pelbagai platform bagi menggalakkan orang ramai membeli raja buah tersebut.

“Dari segi perancangan jangka panjang pula, satu sistem bersepadu perlu difikirkan supaya durian dapat ditanam untuk menjadikan durian ini sebagai makan keluarga yang mampu dibeli oleh semua.

“Industri durian ini perlu dilihat sebagai satu industri serius bukan sahaja untuk kegunaan tempatan dan eksport,” katanya yang juga pemilik dusun durian varieti Paduka yang terkenal di daerah Perak Tengah.

Dalam pada itu, Nordin mengharapkan agensi berkaitan mempunyai mempunyai data yang cukup dan lengkap dari segi pemilik, varieti kapasiti pengeluaran bagi membolehkan industri berkenaan terus berkembang.

Katanya, usaha juga perlu dilakukan untuk menambah nilai terhadap durian bukan sahaja di dusun semata-mata sebaliknya boleh dibangunkan menjadi produk produk hiliran berasaskan buah tersebut.

Sumber: Sinar Harian