Pemilik akaun Instagram ‘safieyillias94’ ditahan polis

Pemilik akaun Instagram ‘safieyillias94’ ditahan polis

Pemilik akaun Instagram (IG) safieyillias94 yang juga pengasas produk kosmetik ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis sudah menahannya semalam selepas menerima satu laporan polis berhubung perbuatannya itu.

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan pemilik akaun Instagram safieyillias94 dan pipinatasha bagi membantu siasatan berhubung komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Mohd Zaid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pensyarah universiti pada jam 9 pagi kelmarin.

“Pengadu membuat laporan selepas melihat pautan siaran langsung di aplikasi Instagram (IG) milik safieyillias94 yang juga hos bersama pemilik IG pipinatasha.

“Siaran langsung di aplikasi berkenaan membabitkan dua kanak-kanak bawah umur,” katanya.

Beliau berkata, hos berkenaan didapati melakukan perbuatan boleh ditakrifkan sebagai komunikasi lucah dan amang seksual kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Terdahulu, seorang pensyarah membuat laporan polis ke atas pengguna akuan IG terbabit di Balai Polis Bandar Baru Bangi.

Ia susulan tindakan pemilik akaun berkenaan dan rakannya menari secara mengghairahkan sambil dilihat dua kanak-kanak bawah umur itu.

Dia turut ‘mengajar’ cara-cara menghisap dadah sambil disambut gelak tawa daripada mereka semua.

Sumber: Harian Metro