Pemergian Siti Sarah dapat liputan portal berita antarabangsa, BBC News

Pemergian Siti Sarah dapat liputan portal berita antarabangsa, BBC News

 

Berita pemergian penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, semalam turut mendapat liputan portal berita antarabangsa, BBC News.

Ia berikutan, berita pemergiannya selepas tewas dengan virus Covid-19 bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia, bahkan juga ramai pelayar laman portal itu di luar negara turut menitipkan ucapan takziah dan simpati di Facebook rasmi portal itu.

“Ini adalah berita yang menyedihkan untuk wanita ini serta keluarganya. Rasa simpati yang begitu mendalam daripada saya buat mereka dalam menempuh detik penuh dugaan ini,” tulis seorang pelayar di Facebook BBC News.

Seorang pengguna Facebook yang lain pula mendoakan kesejahteraan untuk Allahyarham dan cahaya matanya yang baru dilahirkan.

“Sedih! Semoga rohnya diberikan ketenangan. Saya harap, anaknya akan membesar dengan cemerlang,” tulisnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook mendoakannya dan menegaskan mengenai Covid-19 adalah satu benda yang harus dipandang serius.

“Siti Sarah akan sentiasa diingati. Semoga Allah tempatkannya di tempat tertinggi di Jannah dan berikan kemudahan kepada keluarganya dalam saat getir ini.

“Covid-19 itu benar-benar ada! Kekal selamat,” tulisnya.

Dalam laporan BBC News itu, turut dinyatakan juga ucapan takziah daripada Istana Negara mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain BBC, portal liputan6 dan Chanel News Asia Lifestyle (CNA) juga melaporkan berita sama,

Sumber: Harian Metro