Pemburuan haram di Lenggong, empat penjawat awam antara 11 ditahan
Polis menahan 11 lelaki, termasuk empat penjawat awam dari sebuah institut pengajian tinggi di Tanjung Malim, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perburuan haram di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Lata Kekabu, Lenggong, dekat sini, semalam.
Kesemua mereka berusia 13 hingga 52 tahun itu diberkas dalam Op Khazanah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek, termasuk tiga juvana, ditahan ketika hendak keluar dari kawasan berkenaan.
Menurutnya, semasa ditahan, tiada senjata dijumpai bersama kumpulan itu kerana ia telah dileraikan dan disimpan di dalam beg.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut polis menjumpai dua laras senapang patah dan empat laras pemanah ikan serta beberapa peralatan untuk memburu.
“Siasatan mendapati senapang patah yang dirampas itu dalam milikan lelaki berusia 52 tahun namun dia mengaku tidak memiliki lesen yang sah, sebaliknya senjata api itu dipinjam daripada rakan untuk memburu.
“Empat pemanah ikan yang dirampas itu didapati buatan sendiri yang dibuat bagi tujuan untuk memanah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood.
Menurut Mior Faridalathrash, polis turut menjumpai tiga plastik putih mengandungi bahagian daging disyaki daging hidupan liar.
Bagaimanapun, ujarnya, rampasan itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Hulu Perak untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, lapan suspek dewasa direman empat hari mulai hari ini manakala tiga juvana yang berumur antara 13 hingga 18 tahun dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – AA