Pembukaan sekolah bermula 1 Mac secara berperingkat

Pembukaan sekolah bermula 1 Mac secara berperingkat

Pembukaan sekolah di seluruh negara akan bermula 1 Mac secara berperingkat.

Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, bagi pelajar pra sekolah, tahun 1 dan 2 bermula pada 1 Mac.

Katanya, bagi tahun 3 hingga 6 sekolah rendah bermula 8 Mac.

Beliau berkata, bagi sekolah menengah di Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah akan bermula 4 April.

“Selebihnya bagi negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermula 5 April,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi menjelaskan kemasukan sekolah rendah lebih awal dari sekolah menengah berikutan memberi ruang kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjawab peperiksaan.

Beliau berkata, disebabkan itu keputusan semua pelajar sekolah menengah akan kembali semula ke sekolah selepas pertengahan penggal.

“Peperiksaan SPM akan berakhir hujung Mac dan cuti pertengahan penggal adalah 26 dan 27 Mac hingga 3 dan 4 April.

“Maka murid sekolah menengah akan hadir ke sekolah sejurus pertengahan penggal,” katanya.

Radzi berkata, bagi kolej vokasional untuk Sijil Vokasional Malaysia Tahun 1 (Sem 2) dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun 1 (Sem 2) akan bermula 1 Mac ini.

Katanya, bagi sekolah swasta secara umum mengikut sekolah kerajaan.

“Sekolah antarabangsa pula dan IPS (institusi pendidikan swasta) kategori pusat akan bermula pada 8 Mac,” katanya. – FMT