Pemandu Myvi kantoi cucuk rapat untuk elak bayar tol
Setelah beberapa hari mendiamkan diri, nama Myvi kembali viral di media sosial dan kes kali ini melibatkan seorang pemandunya melakukan onar di plaza tol Mex Putrajaya.
Berdasarkan video dashcam berdurasi 31 saat itu, kes berlaku pada jam 2.33 petang 28 Februari lalu. Ketika saksi melalui tol tersebut, pemandu Myvi terbabit berada di belakangnya.
Sebaik saja saksi membuat bayaran tol, palang diangkat dan pemandu Myvi berkenaan segera mengekori kenderaan saksi dalam jarak yang sangat rapat semata-mata tidak mahu membayar tol berjumlah RM3.50.
Setelah berjaya melakukan taktik kotor itu, pemandu Myvi terbabit terus memecut laju dengan sangkaan perbuatannya tidak disedari oleh saksi.
Saksi kemudian memuat naik video tersebut di media sosial dan kini viral meluas sehingga ada netizen yang mengambil inisiatif untuk memeriksa status Myvi tersebut dan hasilnya mendapati pemiliknya mempunyai tujuh saman kesalahan lalu lintas yang berjumlah RM1,550.
Makin menjadi-jadi isu lari dari membayar tol. Kereta baru pula tu. Kejadian di Plaza Tol MEX Putrajaya. pic.twitter.com/aci2S0QjAK
— MyWatch (@My_CrimeWatch) March 2, 2021
Difahamkan, pihak Lebuhraya Mex telah mengambil maklum mengenai kejadian itu dan dipercayai akan mengambil tindakan terhadap pemandu Myvi terbabit.
Sumber: My Crime Watch, The Reporter