Pemandu maut lori muatan cat terbabas, kelindan selamat

Pemandu maut lori muatan cat terbabas, kelindan selamat

 

Seorang pemandu lori maut selepas lori tiga tan yang membawa muatan cat dipandunya terbabas di bahu jalan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian di Kilometer 381.4 PLUS itu, seorang kelindan yang turut berada di dalam kenderaan tersebut selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai M. Mohan, 67 tahun.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.39 pagi dan seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi.

“Terdapat dua mangsa dalam kemalangan yang membabitkan sebuah lori tiga tan (muatan cat) yang terbabas di bahu jalan di lebuh raya.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu tersepit dan disahkan maut oleh pasukan perubatan. Bagaimanapun, kelindan lori selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai oleh PBK II Saijul Amri Malik itu tamat pada jam 9.34 pagi.