Pemandu lori maut tersepit kemalangan dengan treler

Pemandu lori maut tersepit kemalangan dengan treler

Seorang pemandu lori maut setelah tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Dalam nahas pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Lotfi Abd. Latib, 37, dari Klang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, kemalangan membabitkan lori muatan barangan kurier dipandu mangsa dan sebuah treler muatan balak dipandu lelaki berusia 56 tahun.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa telah melanggar belakang treler berkenaan yang ketika itu sedang bergerak ke lorong kiri.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah kerana tersepit di tempat duduk hadapan lori yang remuk teruk sebelum dia berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dengan kenderaan dipandunya juga tiada sebarang kerosakan.

Katanya, siasatan awal mendapati punca kemalangan ekoran kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar belakang treler.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di mana kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Kosmo