Pemandu Lalamove terkejut dapat ‘job’ wajib tahu cakap bahasa Cina

Pemandu Lalamove terkejut dapat ‘job’ wajib tahu cakap bahasa Cina

 

Kita sering mendengar kisah para pemandu Lalamove atau Grab yang menerima permintaan di luar jangkaan fikiran orang biasa.

Namun baru-baru ini, seorang pemandu Lalamove berkongsi sebuah tangkap layar yang memperlihatkan satu permintaan ‘spesifik’ daripada seorang pelanggan untuk tugasan penghantaran menerusi aplikasinya.

Di dalam tangkap layar itu, seorang pelanggan telah membuat permintaan bahawa tugasan penghantaran ini mestilah diambil oleh pemandu yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Cina.

“Pemandu mestilah mengetahui cakap bahasa Cina,” tulis pelanggan pada nota tambahan di tugasan tersebut.

Lelaki itu lalu berseloroh mengatakan permintaan ini sepertinya mahu menemu bual untuk jawatan kerja pula, yang biasa diminta oleh sejumlah syarikat di luar sana bakal pekerja perlu mahir berkomunikasi bahasa Cina.

Pemandu lalamove

Perkongsian lelaki itu di grup FB Lalamove Malaysia telah menarik perhatian netizen dan menerima pelbagai reaksi menerusinya.

Ramai yang merasa geli hati melihat permintaan berkenaan kerana tugasannya hanyalah sekadar menghantar barang sahaja.

Dalam masa sama, ramai berpendapat isu bahasa sepatutnya bukan menjadi masalah besar di Malaysia memandangkan majoriti rakyatnya masih mahir berbahasa Malaysia atau Inggeris.

Walaupun begitu, ada yang mempertahankan tindakan pelanggan yang meminta sedemikian rupa kerana berkemungkinan mereka tidak mahir berbahasa inggeris atau malaysia lebih-lebih lagi jika seseorang itu berasal daripada negara China dan Taiwan.