Pemandu kereta sewa ditahan bawa Pati

Pemandu kereta sewa ditahan bawa Pati

 

Pemandu kereta sewa warga emas ditahan polis selepas didapati membawa dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia di Kilometer 30 Jalan Feri, Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 62 tahun terbabit ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di lokasi berkenaan pada 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki itu ditahan selepas polis mendapati kereta Proton Waja dipandunya dalam keadaan mencurigakan bersama dua penumpang yang juga suami isteri berusia 50 dan 49 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suami isteri berkenaan tidak mempunyai dokumen diri.

“Pemandu kereta ditahan kerana dipercayai melindungi warga asing tanpa pasport dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan menjalankan perkhidmatan kereta sewa,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Beliau berkata, lelaki itu mengambil pasangan berkenaan dari Kampung Merbau Berdarah, Sungai Besar di Selangor untuk dibawa ke Ipoh bagi tujuan mencari pekerjaan.

Katanya, suami isteri berkenaan dikenakan bayaran RM350 untuk perkhidmatan itu.

“Polis merampas Proton Waja, manakala ketiga-tiga individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk tindakan lanjut.

“Semakan mendapati pemandu kereta itu tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.