Pemandu depan lupa buka lampu kereta, tindakan bijak individu ini raih pujian ramai

Kadang-kadang memang ada masanya kita terlupa untuk membuka lampu kereta semasa memandu di jalan yang gelap. Situasi seperti ini bukan sahaja boleh membahayakan pemandu itu sendiri malah pemandu lain yang menggunakan jalan yang sama dengannya juga.
Baru-baru ini, satu rakaman dashcam menarik perhatian ramai apabila seorang pemandu menunjukkan satu cara yang bijak untuk menegur pemandu yang terlupa membuka lampu kereta. Menerusi video yang dikongsikan ini, kelihatan sebuah kereta yang muncul dari sebelah kiri masuk ke dalam simpang yang agak gelap jalannya.
Sebaik sahaja pemandu itu menghampiri palang had tinggi, dapat dilihat dengan jelas dia tidak membuka lampu kereta sekaligus menarik perhatian pemandu yang berada di belakangnya. Mungkin juga kerana lampu dari kereta belakang agak cerah menyebabkan pemandu itu menyangka dia telahpun membuka lampu keretanya.
Untuk menegur pemandu yang terlupa membuka lampu kereta itu, pemandu di belakangnya kemudian memadamkan lampu keretanya. Sebaik sahaja dia menutup lampu kereta, keadaan di jalan itu menjadi gelap gelita menyebabkan pemandu tersebut segera membuka lampu keretanya sendiri.
Tindakan bijak yang dilakukan oleh pemandu ini turut menerima pujian dari netizen kerana ia antara cara terbaik untuk menegur pemandu lain tanpa perlu membunyikan hon. Kebiasaannya jika membunyikan hon, ramai pemandu yang tidak dapat ‘menangkap’ apakah maksud di sebalik hon tersebut.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut berterima kasih dengan perkongsian yang diberikan ini. Malah ada yang tidak pernah terfikir untuk melakukannya setiap kali berhadapan dengan pemandu yang tidak membuka lampu kereta semasa memandu.
“Tuan memang orang yang bijaksana. Saya tak pernah terfikir pun nak buat macam ni.”
“Haa menggelupur member tu jalan tiba-tiba gelap sebelah kanan kubur cina pulak.”
“Kenapa aku tak pernah terfikir idea ni, terima kasih lah nah.”