Pemandu bas sekolah didakwa lakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak perempuan
Seorang pemandu bas sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, K. Ravichandran, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan itu ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa.
Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara pukul 1 hingga 1.25 petang pada 6 Ogos 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta diletakkan di bawah pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffi Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Datin K. Shamini.
Terdahulu, Mohd. Waffy menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 namun Shamini memohon jumlah jaminan dikurangkan ekoran tertuduh merupakan penanggung tunggal dalam keluarga.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Kosmo