Pelik pakcik ini datang UTC setiap hari, rupanya jual nombor giliran RM50 setiap satu

Pelik pakcik ini datang UTC setiap hari, rupanya jual nombor giliran RM50 setiap satu

 

Kehadiran seorang lelaki berusia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) telah mencetus pelbagai persoalan ekoran sering berlegar dalam bangunan itu hampir setiap hari.

Tidak mempunyai sebarang urusan di mana-mana kaunter agensi kerajaan, lelaki itu rupanya sedang ‘meniaga’ dengan menjual nombor giliran kepada pengunjung UTC.

Difahamkan, lelaki terbabit mengambil kesempatan di atas pengenalan sistem giliran di atas talian untuk melakukan urusan di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Berbekalkan beberapa buah telefon pintar, lelaki berkenaan akan mengambil nombor giliran menerusi atas talian (online) dalam aplikasi Sistem Pengurusan Giliran (QMS).

Nombor giliran percuma itu akan dijual semula dengan harga RM50 atau RM60 kepada para pengunjung UTC terutamanya mereka yang mempunyai urusan di kaunter JIM.

Kegiatan lelaki terbabit didedahkan oleh seorang individu menerusi satu hantaran di platform media sosial yang terkenal di kalangan masyarakat Cina iaitu Xiaohongshu.

“Ketika mengedar baucar pemeriksaan kesihatan percuma di UTC, saya ternampak seorang pakcik yang sering berlegar berdekatan kaunter memperbaharui pasport selama beberapa hari berturut-turut.

“Saya menghampirinya untuk bertanyakan urusan apakah yang harus diselesaikan sehingga dia perlu datang ke sini selama beberapa hari. Pakcik itu beritahu, dia sebenarnya menjalankan perniagaan di sini.

“Setiap pagi, dia akan menggunakan beberapa buah telefon bimbit untuk mengambil nombor giliran dalam aplikasi QMS. Kemudian dia akan menjualnya terutama kepada pengunjung UTC yang sudah berusia,” ceritanya.

Menurut pemilik akaun Xiaohongshu itu, perbuatan lelaki tidak bertanggungjawab terbabit dilakukan di dalam bangunan UTC yang terletak di Pudu Sentral, Kuala Lumpur.

Pendedahan itu telah mengundang kemarahan orang ramai yang menyelar tindakan lelaki tersebut kerana menjual nombor giliran disediakan secara percuma oleh agensi kerajaan