Pelekat cukai jalan habis stok di Perak

Pelekat cukai jalan habis stok di Perak

Ribuan pemandu di bandar ini berdepan masalah tidak dapat memperbaharui cukai jalan.

Perkara itu difahamkan berpunca daripada stok pelekat cukai jalan kenderaan habis.

Keadaan ini berlaku di premis seperti MyEG, Pos Malaysia dan wakil insurans sejak dua minggu lalu.

Kosmo! difahamkan ia berlaku disebabkan urusan memperbaharui cukai jalan bertumpu di kios-kios MyEG berikutan penutupan operasi kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada di pejabat pusat negeri mahupun di Pusat Transformasi Bandar (UTC) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keadaan bertambah rumit apabila beberapa buah pejabat Pos pula tidak dapat menawarkan perkhidmatan tersebut atas pelbagai alasan termasuk tidak boleh mengakses sistem talian JPJ.

Penjawat awam, Zulfakar Abd. Karim, 33 berkata, masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana JPJ wajib memastikan stok pelekat cukai jalan mencukupi berdasarkan jumlah urusan pendaftaran secara purata pada setiap minggu.

Katanya, alasan tidak bero­perasi disebabkan PKP juga tidak boleh diterima kerana ini me­nunjukkan agensi itu tidak me­rancang operasi dengan betul.

“Pada masa ini kaunter JPJ ­telah dibuka sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk semua jenis urusan ke­cuali memperbaharui Lesen Kenderaan Motor individu.

“Tidakkah ini menyusahkan orang ramai? Walaupun boleh memperbaharui cukai jalan di mana-mana kios tetapi pelekat cukai jalan tidak dapat dikeluarkan umpama pengguna kena berurusan berulang-ulang,” katanya yang mahu isu itu diselesaikan segera.

Keluhan sama disuarakan peniaga makanan, Mohamad Syarime Mohamad Syariff, 29, apabila dia terpaksa pergi ke beberapa buah kios MyEG dan pejabat pos di bandar ini untuk memperbaharui cukai jalan tetapi gagal.

“Saya terpaksa meminta bantuan rakan di Taiping untuk memperbaharui cukai jalan secara dalam talian tetapi menghadapi masalah sama.

“Apabila hubungi JPJ alasan sama diberi iaitu mereka kehabisan pelekat cukai jalan dan minta bersabar,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali syarikat insurans am dan takaful, Richard Ng berkata, isu itu turut menjejaskan perniagaannya apabila pelanggan yang datang tidak dapat perbaharui cukai jalan. – KO