Pelantikan aktres China, Fan Bingbing selaku duta pelancongan Melaka undang perdebatan

Pelantikan aktres China, Fan Bingbing selaku duta pelancongan Melaka undang perdebatan

 

Baru-baru ini, pelakon terkemuka China Fan Bingbing, telah dilantik sebagai duta pelancongan negeri Melaka. Bagi menaikkan nama negeri tersebut di peringkat global, Fan dijadualkan untuk mula mempromosi Lawatan Melaka 2024 bermula 15 Jun ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh menerusi perkongsian di laman Instagram di mana beliau berjumpa dengan pengurus wakil kepada Fan bagi memperincikan lawatan berkenaan.

Pengumuman tersebut kemudian telah tular di laman X (Twitter) di mana orang ramai memberikan pelbagai reaksi mengenai pelantikan itu.

Pempengaruh terkenal Ceddy menerusi perkongsian di X turut berkongsi pandangannya tentang pelantikan Fan Bingbing sebagai duta pelancongan Melaka.

Jelasnya, tindakan kementerian melantik pelakon berkenaan menjadi duta untuk mempromosi Melaka di China adalah sesuatu yang menghairankan. Hal ini kerana Fan dikatakan pernah digam di negaranya akibat telibat dengan kes mengelak cukai pada 2018.

Dia dilaporkan mengelak daripada membayar sejumlah besar cukai yang telahpun didedahkan oleh pihak kerajaan.

Aktor The 355 tersebut telah menghilangkan diri buat sementara waktu pada tahun itu semasa disiasat oleh pihak berkuasa China. Memetik BBC, dia telah disaman sekitar $129 juta (kira-kira RM593,388,983.57) kerana mengelak cukai dan kesalahan lain.

“Adakah dia masih mempunyai kuasa di sini? Saya fikir ya kerana ramai orang menyanjungi Fan kerana dia cantik dan berada dalam rancangan besar sebelum ini. Mungkin orang tempatan akan cakap, ‘Omg ini (Melaka) tempat Fan Bingbing makan sebelum ni.’ Tetapi tak pasti bagaimana perasaan pelancong dari China tentang perkara ini,” ujar Ceddy.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata netizen berpendapat terdapat ramai lagi calon yang sesuai untuk dilantik sebagai duta pelancongan Melaka.

“Aku rasa kalau Lin Dan yang jadi duta, mungkin orang China lagi suka. Walaupun dia ada skandal curang dulu, overall orang China masih lagi sanjung dan minat dia,” kata seorang lelaki.

Ada juga yang tertanya-tanya sama ada pihak berkuasa cakna tentang kes melibatkan Fan pada 2018 lalu.

“Sebaik sahaja melihat berita ni, saya fikir adakah mereka tidak tahu Fan Bingbing ini bermasalah?” tanya seorang wanita.

Sementara itu, ramai berkata pemilihan Fan Bingbing sebagai duta bukan keputusan terbaik sebaliknya kementerian sepatutnya melantik rakyat tempatan berbangsa Cina.

“Kalau nak orang Cina jadi duta, kenapa tak pilih warganegara sendiri?” ujar seorang pengguna X.

Dalam pada itu, ada juga masyarakat yang dikatakan berasa teruja dengan pelantikan Fan tersebut.