Pelanggan salah pin lokasi ugut buang kerja, paling rider sedih dihina & dimaki depan orang ramai

Sendiri salah, sendiri pula yang naik angin. Itulah kata-kata yang paling sesuai menggambarkan tindakan seorang pelanggan melampiaskan marah kepada food rider bernama Muhd Yusuf.
Dek kerana rasa geram pesanan makanannya lambat diterima, dia malah mengugut Yusuf mahu mengadukan perkara itu kepada pihak atasan termasuklah kebarangkalian dibuang kerja.
Aku dah sampai dia kata “kau tak pandai cari sendiri ke”…Aku dah cari 1 jam
Menurut penjelasan rider berusia 27 tahun ini, sebenarnya pelanggan terbabit yang salah pin location sehingga terpaksa dicari ke kawasan sekitar hampir 1 jam.
Bukan sahaja tidak mengaku silap sendiri apalagi hendak meminta maaf, maruah Yusuf juga seakan tercalar kerana dihina bertubi-tubi di hadapan khalayak ramai.
Dalam phone dia cakap dengan saya kurang ajar, takkan saya nak hormat dia?
Bercerita lebih lanjut tentang kejadian itu dengan portal mStar, awalnya dia sudah mencari lokasi yang dimaksudkan termasuklah bertanya dengan pengawal keselamatan di sana.
Setelah bertemu, makanan berkenaan terus dirampas dan tidak semena-mena Yusuf dilemparkan dengan kata-kata kesat.
10 tahun berada dalam bidang food delivery, dia akui inilah kali pertama dia berdepan dengan customer sebegitu.
Saya balik rumah tengok anak bini, saya sedih…Kemungkinan esok saya kena gantung kerja ke
Mujurlah selepas isu berkenaan dibawa ke pengetahuan majikannya sendiri (CS), mereka tidak berpihak kepada pelanggan malahan menyuruh Yusuf untuk membuat laporan polis.
Tiada apa yang dimahukan oleh Yusuf selain berharap pelanggan terbabit datang meminta maaf kepadanya.
Natijah daripada pengalaman pahit tersebut, bapa 2 anak ini berpesan agar orang di luar sana tidak melayan golongan rider seperti mereka tiada maruah diri.