Pelanggan guna sihir paksa peniaga ‘refund’ duit yang ditipu

Pelanggan guna sihir paksa peniaga ‘refund’ duit yang ditipu

 

Umat Islam di negara ini ditegah daripada cuba menggunakan sihir bagi tujuan memaksa peniaga tidak jujur untuk memulangkan balik duit pelanggan yang ditipu.

Demikian nasihat yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-634 yang diterbitkan menerusi laman sesawang rasminya semalam bagi mengulas isu itu.

“Penggunaan khidmat sihir untuk memaksa penjual ‘refund’ (pulang semula) duit yang telah diambil adalah perbuatan haram walau atas apa alasan sekali pun,” kata kenyataan tersebut.

Ia merujuk persoalan yang tular dalam media sosial baru-baru ini memaparkan tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang mengugut penjual berkenaan.

Menurut Kosmo, peniaga terbabit dilaporkan terpaksa merayu lelaki berkenaan yang dipercayai antara mangsa ditipunya itu agar segera berhenti menghantar santau mengakibatkannya muntah paku berdarah.

Mengulas lanjut, PMWP berkata, sihir merupakan perbuatan maksiat dan antara dosa besar yang dilafazkan sendiri oleh Rasulullah SAW melalui hadis masyhur diriwayatkan Abu Hurairah.

Baginda ketika ditanya para sahabat ada bersabda dengan maksudnya supaya umat Islam menjauhi tujuh perkara yang boleh membinasakan atau berdosa besar dan antaranya ialah sihir.

Berdasarkan dalil itu, Imam al-Nawawi menjelaskan perbuatan sihir adalah haram dan ulama muktabar bersepakat ia membawa hujah bahawa sihir juga merupakan maksiat paling besar.

Tangkap layar memaparkan perbualan berbaur ugutan pelanggan mahu menyihir peniaga yang dipercayai menipunya.