Pelakon veteran Amran Tompel meninggal dunia pada hari terakhir kuarantin

Pelakon veteran Amran Tompel meninggal dunia pada hari terakhir kuarantin

 

Pelawak dan pelakon, Amran Tompel, 72, meninggal dunia di kediamannya di Taman Matahari Height Senawang, Seremban, Negeri Sembilan pada hari terakhir kuarantin akibat positif COVID-19, pada jam 4.37 petang tadi.

Abang Allahyarham Amran, AR Badul berkata, adiknya sepatutnya menamatkan kuarantin selepas disahkan positif COVID-19, hari ini.

“Betul, Amran sudah meninggal dunia. Saya baru balik dari Perak. Setibanya di Kuala Lumpur, baru saya sempat baca mesej yang dihantar di WhatsApp berkenaan kematiannya.

“Saya terus bertolak ke Seremban. Kematian Amran berpunca sakit tua, masalah buah pinggang dan baru-baru ini, Amran positif COVID-19.

“Sepatutnya hari ini adalah hari terakhir kuarantin,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah, berkata jenazah Allahyarham Amran sudah dihantar ke hospital untuk urusan pemeriksaan dan pengebumian.

Hafiz berkata, Allahyarham Amran atau nama sebenar, Amran Aman Ramlie yang dilahirkan pada 27 Oktober 1950 di Singapura, meninggal dunia pada usia 72 tahun di sisi anak-anak.

“Beliau meninggal dunia akibat sakit kanser usus yang dihidapi sejak sekian lama. Beliau meninggalkan empat anak hasil perkahwinan dengan isterinya,” katanya.

Hafiz berkata, SENIMAN menyifatkan pemergian Amran sebagai kehilangan besar kepada industri kreatif tempatan.

“Allahyarham berbakat besar. Beliau pelawak dan pelakon yang tiada tandingan. Seluruh kepimpinan dan barisan ahli jawatankuasa SENIMAN mengucapkan takziah kepada keluarga dan semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Sebelum ini, Amran dilaporkan terlantar akibat diserang angin ahmar. Allahyarham Amran juga kurang selera makan hingga berat badan menyusut.

Allahyarham Amran pernah membintangi beberapa filem seperti Buai Laju-laju, Tak Ori Tapi Ok, Salah Bapak, Bilut, Baik Giler, Lu, Gua, Bro, Gerak Khas dan banyak lagi.