Pelakon ‘Kekasih Paksa Rela’ letak tujuh syarat jika suami mahu berjumpa

Pelakon ‘Kekasih Paksa Rela’ letak tujuh syarat jika suami mahu berjumpa

 

“Dia (Nynaa) kata nak bercerai cara baik tapi kenapa tiada satu perbualan pun dengan saya?” kata Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas, 29, suami kepada pelakon Nynaa Harizal, 25, ketika ditemui pada sidang media khas berkenaan tindakan isterinya memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, semalam.

Fahmi mengakui pernah dihubungi isterinya menerusi telefon untuk berbincang mengenai rumah tangga mereka pada 12 November lalu. Bagaimanapun dia meragui tujuh syarat yang ditetapkan isterinya sekiranya mahu berjumpanya.

“Dia hubungi saya pada jam 6 petang dan beritahu nak berjumpa. Saya kata boleh nak jumpa pada bila-bila masa. Pada 30 saat pertama perbualan saya berasa gembira. Selepas itu saya macam tak sedap hati sangat kerana kedudukan lokasi untuk berjumpa dia sangat pelik. Ia bukan macam pasangan yang nak pulihkan keadaan pun,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Menurutnya, syarat terbabit adalah perlu berjumpa di pejabat peguam di Johor Bahru seorang diri dan tidak boleh ditemani keluarga, pemandu atau pengawal peribadi.

“Saya juga tidak boleh merakam apa-apa (perbualan atau gambar) ketika berjumpa dan tanpa kehadiran media.

“Nynaa juga memaklumkan dia tidak boleh keluar dari Johor dan tidak dibenarkan berbuat demikian serta menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Fahmi berkata, dia menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan perkara itu apabila sanggup berkunjung ke rumah keluarga isterinya di Johor Bahru.

“Dua hari selepas insiden itu saya dan keluarga pergi ke sana. Saya nak jumpa mereka semua tapi saya tak dibenarkan masuk. Ibu bapanya juga tidak keluar. Saya menanti selama dua jam. Adakah ini dikatakan nak bercerai secara baik?

“Saya sebagai suami ada kesungguhan untuk selamatkan keadaan. Jika saya lihat sudah tiada harapan lagi, baru saya senang hati untuk keluar dari hubungan ini (cerai),” katanya.

Menurutnya, hari ini masa yang tepat untuknya menjelaskan semua yang berlaku.

“Semalam Nynaa failkan cerai. Apabila tengok kes saya pun keliru kerana sampai sekarang tak dapat penjelasan dari dia sebab apa hubungan ini jadi sampai begini.

“Saya dan dia tiada masalah. Kami pasangan yang gembira. Mula-mulanya saya terasa ada campur tangan pihak ketiga. Sekarang sah ada,” katanya.

Sementara itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan masalah kewangan menjadi antara punca titik tolak kepada masalah ini.

“Saya tidak menafikan tetapi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu. Sebelum kahwin hubungan saya dan keluarganya sangat rapat. Selepas bertunang keluarganya agak lain sikit,” katanya.

Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu.

Terdahulu pada 3 November lalu, Fahmi mendakwa isterinya ‘dilarikan’ oleh bapa mentuanya ketika terbabit dengan penggambaran sebuah drama di Setia Alam.

Bagaimanapun Nynaa dalam satu kenyataan media semalam tampil menafikan dakwaan terbabit dan menyifatkan ia sebagai tidak benar.