Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur

Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur

 

Aktor terkenal, Badrul Muhayat, 55, disahkan meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang, pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham Badrul disahkan oleh isterinya, Norhayati Zulkapli kepada BH Online.

“Ya, arwah Badrul sudah tiada. Maaf, saya tidak boleh bercakap panjang kerana sedang membuat laporan di balai polis.

“Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Johor Bahru,” katanya ringkas.

Pemergian pelakon filem Harry Boy dan Azizah The Legend itu disedari Norhayati kira-kira jam 9 pagi selepas cuba mengejutkan arwah untuk berniaga di Karnival Uda, Jalan Baru Perai.

Sementara itu, pelakon Anne Abdullah yang mendapat berita pemergian Badrul melalui teman artis, Aida Aris yang berada di tempat kejadian.

“Saya difahamkan isteri arwah mengejutnya untuk bersiap-siap ke tapak karnival kerana berniaga di sana.

“Tapi, arwah tidak memberikan respon dan badannya juga didapati sejuk. Jadi, mereka memanggil ambulans dan Badrul disahkan sudah meninggal dunia.

“Sekarang, isterinya sedang berada di balai polis untuk membuat laporan dan belum dipastikan lagi sama ada akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat kerana mereka masih menantikan insurans,” katanya.

Menurut Anne, keluarga Badrul sudah pun dimaklumkan mengenai pemergiannya dan meminta agar jenazah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk dikebumikan.

Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Ketika bertemu dengan Badrul pada majlis tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah, pelakon itu ada menyatakan hasrat tetap mengadakan majlis resepsi selepas urusan kerjaya selesai, namun hasratnya tidak kesampaian.

Arwah Badrul turut meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.