Pelajar tingkatan lima maut nahas dua motosikal

Seorang pelajar perempuan maut manakala rakannya parah dalam nahas membabitkan dua motosikal di Jalan Kubu Gajah, Semanggol di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 1.50 petang itu, mangsa, Nurul Hafizatul Syuhada Zinun, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, laporan awal kemalangan melibatkan dua motosikal jenis SM Sport dan Demak Spark yang dinaiki empat remaja perempuan.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila kedua-dua kenderaan dari arah yang sama iaitu Semanggol menuju ke Kubu Gajah.
“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kenderaan mangsa bersama rakannya berusia 17 tahun telah mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk memasuki simpang.
“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki dua remaja masing-masing berusia 15 tahun yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas,” katanya, lapor Sinar Harian.
Mazuki berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut manakala pemboncengnya yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan.

Seorang remaja perempuan disahkan maut manakala rakannya arah dalam nahas membabitkan dua motosikal di Semanggol. Foto: Ihsan pembaca