Pelajar tingkatan dua patah pinggang jatuh jejantas

Pelajar tingkatan dua patah pinggang jatuh jejantas

 

Pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah, di sini, cedera parah selepas terjatuh dari jejantas setinggi 10 meter di sekolahnya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, jejantas terbabit digunakan pelajar berkenaan kerana ia menghubungkan dua blok akademik yang terletak di seberang jalan.

“Mangsa dikatakan mahu pergi ke blok bertentangan selepas selesai mengikuti sesi bacaan Yasin dan terjatuh ketika berada di jejantas tersebut pada 7.30 pagi.

“Polis yang mendapat laporan terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Hanyan berkata, akibat kejadian itu, pelajar terbabit dilaporkan patah pinggang dan beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kerana pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci.