Pelajar tingkatan 5 dalam perjalanan ke sekolah maut, motosikal rempuh lori buat u-turn mengejut sebelum meletup

Pelajar tingkatan 5 dalam perjalanan ke sekolah maut, motosikal rempuh lori buat u-turn mengejut sebelum meletup

 

Seorang pelajar Tingkatan Lima dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 13.5 Jalan Kluang-Batu Pahat pagi tadi.

Memetik Sinar Harian, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.20 pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa Shahrunizam Mohd Shamsul, 17 dilaporkan sedang dalam perjalanan ke sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pelajar itu maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori.

Lori dari arah bertentangan tersebut difahamkan sedang membuat pusingan ‘U’ di sebuah persimpangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari arah Batu Pahat menghala ke SMK Sri Gading dan sebuah lori dari arah bertentangan telah membuat pusingan ‘U’.

“Pelajar tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tangki minyak diesel bahagian kiri lori berkenaan menyebabkan berlaku satu letupan kecil,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal di tempat kejadian

Tambah Ismail, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Ppemandu lori yang berusia 33 tahun dan kelindannya berusia 24 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Pemandu lori telah ditahan dan perintah tahanan reman akan dipohon.

“Ujian saringan awal air kencing ke atasnya didapati negatif,” katanya.

Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.