Pelajar tingkatan 3 dipukul gara-gara tolak sertai kongsi gelap

Pelajar tingkatan 3 dipukul gara-gara tolak sertai kongsi gelap

 

Seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 sebuah sekolah menengah di Iskandar Puteri, Johor, cedera selepas dipukul kerana menolak pelawaan sekumpulan remaja untuk menyertai kumpulan kongsi gelap, kelmarin.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata kejadian berlaku pada 2 petang di depan sekolah mangsa selepas enam suspek tidak dikenali mendekatinya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa didatangi enam suspek berusia 17 hingga 18 tahun mengajaknya menyertai kumpulan kongsi gelap.

“Mangsa menolak pelawaan itu menyebabkan dia dipukul sekumpulan remaja berkenaan sehingga cedera di bibir, pipi dan dahi,” katanya dalam kenyataan.

Rahmat berkata, susulan itu polis menahan seorang suspek berusia 18 tahun, kira-kira 12.15 tengah malam tadi di kediamannya di Iskandar Puteri.

Katanya, suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama rakan lain.

“Polis meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian tampil memberi keterangan berkaitan kes pukul tersebut. Kita tidak akan berkompromi dengan perilaku jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya, memetik laporan FMT.