Pelajar tahfiz dakwa diliwat senior

Pelajar tahfiz dakwa diliwat senior

 

Seorang kanak-kanak dari sebuah pusat tahfiz di sini mendakwa diliwat oleh pelajar senior sejak beberapa tahun lalu.

Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Lina 30-an berkata, kejadian itu tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga sebelum ini berikutan anak sulung dari tiga beradik berusia 13 tahun itu bimbang dan takut dengan ugutan akan dipukul.

Bagaimanapun, ia terbongkar apabila anaknya bersama dua rakan melarikan diri dari pusat tahfiz terbabit kerana dikatakan tidak tahan dibuli pelajar senior terbabit.

“Pada Rabu, saya dimaklumkan oleh kakak ipar bahawa anak melarikan diri dari tempat pengajian tahfiz di sini.

“Apabila saya bertanyakan anak kenapa buat demikian, dia maklumkan tidak tahan kerana telah diliwat pelajar senior sejak tahun 2020.

“Anak juga mendakwa dua lagi rakan turut dibuli senior menyebabkan mereka melarikan diri,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa.

“Kita sedang menunggu arahan seterusnya bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Lina menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kejadian terbabit.