Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan diarahkan pulang ke rumah

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan diarahkan pulang ke rumah

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat di sini diarahkan pulang oleh guru mereka selepas hadir ke sekolah berkenaan awal pagi hari ini.

Ini kerana hanya pelajar Tingkatan Lima yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dibenarkan untuk hadir pada sesi persekolahan 2021.

Adegan pelajar lelaki tersebut sempat dirakam kamera ketika Kosmo! Online bersiaran secara langsung pada tinjauan sesi persekolahan 2021 hari ini di hadapan sekolah berkenaan.

Difahamkan pada awalnya pelajar dipercayai Tingkatan Dua itu hadir ke sekolah bersama rakannya yang belajar di Tingkatan Lima.

Bagaimanapun ketika membuat imbasan suhu di pintu pagar sekolah, dia ditegur guru yang bertugas sebelum dia kemudiannya berlari pulang ke rumah.

Dalam tinjauan yang dilakukan Kosmo! bermula 6.45 pagi itu, seorang lagi pelajar perempuan turut diarahkan pulang dan mengikuti pembelajaran dari rumah memandangkan dia bukan calon SPM 2020.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali berkata, seramai 40,810 pelajar memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini di seluruh negeri Perak.

“Kesemua mereka terdiri daripada calon SPM iaitu seramai 30,773, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melibatkan 3,975, pelajar Kolej Vokasional (1,543) dan 379 pelajar untuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Pelajar yang mengikuti Pembelajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) pula adalah 361,245 orang melibatkan 1,102 sekolah di seluruh negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KO