Pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah

Pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah

 

Pelajar Tingkatan Tiga yang dalam perjalanan ke sekolah meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Kampung Sitiawan (Ipoh – Lumut), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian berlaku pada 7.20 pagi ketika mangsa berusia 15 tahun menunggang dari arah Kampung Deralik menghala ke Sitiawan.

“Motosikal pelajar lelaki itu melanggar tiang lampu di lokasi kejadian yang menyebabkan dia parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi.

“Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat sebelum diserah kepada keluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.