Pelajar kongsi cara kreatif masak mi segera, tuang air atas seterika untuk buat air panas raih perhatian
Apabila sudah memasuki ke dalam asrama, timbul kreativiti untuk mencipta inovasi bagi menyelesaikan masalah seharian seperti memasak maggi dengan berbekalkan perkakasan yang sedia ada di sekitar premis.
Hal ini kerana banyak asrama yang menghalang pelajar membawa sesetengah perkakasan elektrik kerana takut berlaku lintar pintas dan seumpamanya.
Terbaharu, seorang pelajar yang dipercayai menuntut di Universiti Islam Antarabangsa memperlihatkan bagaimana dia memasak mi segera dengan cara yang cukup kreatif iaitu menggunakan seterika.
Siapa sangka seterika yang biasa digunakan untuk menggosok baju sebenarnya boleh dimanfaatkan juga dalam mendapatkan sumber air panas lalu digunakan buat memasak mi segera?
Di dalam video itu, pelajar tersebut menuang air pada dasar seterika yang sudah dipanaskan terlebih dahulu. Kemudian, air yang mengalir dilihat bertukar menjadi panas lalu melembutkan mi segera yang berisi di dalam bekasnya.
Pelajar itu juga sempat memberi pesanan untuk menggunakan seterika yang baharu dan bukannya dalam keadaan karat kerana takut dijangkiti kuman pula. Dia menambah lagi yang anda perlu menunggu sekitar 3 minit untuk memastikan mi segera dimasak dengan betul.
@123abcdef.u Nak saving sgt #xyzbca #iium #fypシ #fyp
Video itu berjaya meraih 1.3 juta jumlah tontonan, 60.6k likes dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen di platform TikTok.
Rata-rata meluahkan rasa teruja melihat cara yang cukup unik untuk memasak mi segera tanpa perlu menggunakan water heater.
Dalam masa sama, ramai juga yang berkongsi bahawa ada cara lain lagi untuk memasak maggi dengan menggunakan seterika yang biasa dibuat oleh pelajar asrama.