Pelajar jadi jutawan sekelip mata lepas duit bantuan kerajaan RM3.5 juta tersilap masuk dalam akaun miliknya

Pelajar jadi jutawan sekelip mata lepas duit bantuan kerajaan RM3.5 juta tersilap masuk dalam akaun miliknya

 

Seorang pelajar universiti berjaya menjadi jutawan sekelip mata selepas duit bantuan kerajaan bernilai lebih RM3.5 juta tersilap masuk ke dalam akaun miliknya.

Meskipun sempat merasa terkejut, pelajar jurusan perakaunan itu bagaimanapun tidak membuang masa untuk membelanjakan wang tersebut bagi kepentingannya.

Tidak hanya membeli pakaian berjenama, wanita berusia 32 tahun itu turut membeli telefon pintar iPhone edisi terbaharu untuk dirinya dan beberapa orang kenalannya.

Menjalani gaya hidup mewah, pelajar itu juga mula berpesta di tempat eksklusif dan mengeluarkan wang di dalam akaunnya untuk membeli minuman keras yang mahal.

Bergelar jutawan segera dalam satu malam, rakan-rakannya mula merasa curiga bagaimana kehidupan wanita yang masih berstatus pelajar itu berubah 180 darjah.

Kemewahan yang dinikmati pelajar itu bagaimanapun hanya berkekalan selama 73 hari sebelum ditangkap polis atas tuduhan mencuri dan penipuan, lapor Daily Mail.

Difahamkan, perbuatan pelajar dikenali sebagai Sibongile Mani akhirnya terbongkar selepas meninggalkan resit memaparkan baki akaun miliknya di sebuah pasar raya.

Menerusi resit tersebut, wang Skim Bantuan Kewangan Pelajar Kebangsaan itu masih berbaki 13,659,249.13 rand (mata wang Afrika Selatan) bersamaan RM3,451,724.30.

Tersenarai sebagai salah seorang penerima skim bantuan, Mani sepatutnya hanya menerima wang kira-kira RM490.07 setiap bulan daripada kerajaan Afrika Selatan.

Bertindak atas laporan, Mani kemudian ditangkap polis pada tahun 2017 kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun oleh mahkamah pada Mac 2022.

Walau bagaimanapun, pelajar Universiti Walter Sisulu (WSU) itu terlepas hukuman penjara selepas rayuannya diluluskan mahkamah tinggi pada Jumaat minggu lalu.

Peguam yang mewakilinya, Asanda Pakade merayu atas alasan Mani tidak berbahaya kepada masyarakat dan wang di dalam akaun wanita itu bukanlah hasil mencuri.

Sebaliknya, pihak Skim Bantuan Kewangan Pelajar Kebangsaan yang membuat silap memindahkan wang 14 juta rand (RM3,534,735.24) ke dalam akaun bank milik Mani.

Lebih memburukkan keadaan, institusi berkaitan kerajaan itu hanya menyedari kesalahan mereka selepas pelajar lain membuat laporan.

“Dia (Mani) sangat lega dan gembira kerana tidak perlu pergi ke penjara dan sedang berusaha untuk memulakan semula kehidupannya.” Ulas peguamnya.