Pelajar cemerlang bawa barang dalam guni daftar universiti dapat perhatian Menteri Pendidikan

Pelajar cemerlang bawa barang dalam guni daftar universiti dapat perhatian Menteri Pendidikan

 

Kisah seorang pelajar cemerlang yang menggunakan guni untuk mengisi barangan yang dibawa untuk ke asrama sewaktu pendaftaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini, mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan, beliau sudah pun menghubungi remaja berkenaan, Rafida Zaiddin dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.

“Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan.

“Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman dan rakan saya, Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang telah melaporkan keadaan anakanda Rafida Zaiddin,” katanya.

Fadhlina dalam hantaran sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia.

Fly high, stand tall Rafida. Insya-Allah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya.

“Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah SWT memberkati pengajian anakanda Rafida,” katanya.