Pelajar cedera parah cari internet: MCMC arah syarikat telekomunikasi sediakan liputan lebih baik

Pelajar cedera parah cari internet: MCMC arah syarikat telekomunikasi sediakan liputan lebih baik

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat telekomunikasi melaksanakan pengoptimuman pemancar yang berhampiran dengan Kampung Baru Batu Tiga, Perak, bagi memastikan liputan Internet lebih baik di kawasan berkenaan selewat-lewatnya Julai ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu merupakan sebagai penyelesaian awal berhubung liputan Internet, manakala bagi penyelesaian jangka masa panjang, suruhanjaya itu mengarahkan penyedia perkhidmatan menyediakan infrastruktur komunikasi bersesuaian di kawasan berkenaan.

Menurutnya tindakan itu mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama Mohd Akmal Kamarudin.

“MCMC amat bersimpati atas kejadian yang menimpa seorang pelajar Siti A’isyah Mohd Idris, 17, yang dilaporkan cedera parah akibat kemalangan ketika menunggang motosikal untuk ke rumah bapa saudaranya bagi mendapatkan capaian internet yang lebih baik untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” menurut kenyataan itu.

Menurutnya langkah penyelesaian yang dimuktamadkan hari ini merupakan hasil daripada pertemuan antara MCMC Negeri Perak dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis serta Telekom Malaysia dengan keluarga Siti A’isyah yang turut disertai Mohd Akmal, petang semalam.

MCMC berkata pertemuan itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar masalah capaian yang dihadapi Siti A’isyah selain mengetahui perkembangan terkini keadaannya.

Selain itu, MCMC juga menasihatkan semua pelajar supaya berhati-hati dan tidak membahayakan diri dalam usaha mendapatkan capaian Internet.

Pada 20 Jun, media melaporkan Siti A’isyah yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Hussein cedera parah setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan bagi mengikuti sesi PdPR di kawasan yang mempunyai capaian Internet yang baik, pada Jumaat lepas.

Sumber: Astro Awani