Pelajar campak buku dalam sungai sebaik tamat SPM
Belum reda kecaman netizen terhadap tindakan pelajar sekolah menconteng baju dengan perkataan biadab, kini tular pula tindakan seorang pelajar membuang buku sekolah di sungai.
Melalui satu perkongsian di Facebook, dipercayai pelajar tersebut bertindak sedemikian bagi ‘meraikan’ sempena selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Video tersebut dirakam dan dimuat naik ke aplikasi TikTok sebelum tersebar di laman sosial lain seperti Facebook dan Twitter.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata netizen mengecam tindakan pelajar tersebut yang dianggap bukan sahaja tidak menghormati ilmu malah mencemarkan alam sekitar.
Seorang netizen dikenali sebagai Elsia berkata, golongan muda kini sanggup melakukan apa sahaja demi menjadi ‘viral’ di laman sosial.
“Budak-budak zaman sekarang ramai syok sendiri dalam video. Sanggup buat perkara tidak elok demi mendapatkan perhatian orang ramai di laman sosial,” katanya.
Seorang lagi netizen dikenali sebagai Christopher pula berkata, dia berharap video tersebut mendapat perhatian pihak berkuasa dan tindakan patut dikenakan terhadap pelajar tersebut.
“Harap ada buat laporan kerana tindakan dia bukan sahaja biadab, malah mencemarkan alam sekitar kerana buku yang dibuang itu turut dibalut dengan plastik,” ujarnya.
Sehingga kini, hantaran tersebut telah ditonton sebanyak 7,000 kali dan mendapat 114 komen.
Terdahulu, tular sekeping foto yang memaparkan dua orang pelajar menconteng uniform sekolah dengan perkataan biadab. – UO